Ahad, 19 Julai 2009

Garis Panduan Interaksi Muslimin Dan Muslimat
Di dalam Surah Az-Zariyat, Allah menjelaskan secara umum bahawa dia telah menjadikan makhlukNya secara berpasangan. FirmanNya yang bermaksud: "Dan bagi setiap sesuatu, Kami telah ciptakan secara berpasangan." Bagi memakmurkan dunia, Allah telah ciptakan pula makhluk manusia selaku pentadbir dunia ini secara berpasangan lelaki dan perempuan. FirmanNya yang bermaksud: "Wahai manusia, Kami telah ciptakan kamu (secara berpasangan) dari jenis lelaki dan perempuan." Pada masa yang sama, makhluk manusia yang berpasangan ini dibebankan pula dengan amanah dakwah Islam. Amanah ini merupakan satu tanggungjawab yang dipikulkan secara sama rata samada lelaki mahu pun perempuan. FirmanNya yang bermaksud: "Orang-orang mukmin lelaki dan orang-orang mukmin perempuan itu saling mambantu menjalankan tugas menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah dari yang mungkar." Dalam menunaikan amanah amar ma'ruf dan nahi mungkar itu tadi, sudah tentu mereka memerlukan kepada perhubungan dua hala antara lelaki dan perempuan. Mereka akan saling berinteraksi dan berkomunikasi di antara satu sama lain. Bagi menjamin da'wah tidak tercemar dan agama terus tersebar, maka Islam sebagai agama yang syumul turut membari garis panduan dan tunjuk ajar bagaimana muslimin dan muslimat berinteraksi antara sesama mereka. Mereka juga diberi tunjuk ajar bagaimana berinteraksi dengan orang-orang yang berada di sekeliling mereka bagi mencapai matlamat da'wah dan mengelak ruang fitnah.

Tiada ulasan: