Ahad, 19 Julai 2009

Ikhtilat @ Pergaulan bebas, Bagaimana Dengan Kita?
Sering sahaja dalam minggu ini, apabila otak saya menjentik rasa untuk menulis sesuatu, jemari saya layu tidak bertenaga. Entah kenapa! saya seakan hilang rentak tari. Nafsu menulis saya membuak-buak tapi ada sesuatu yang menghalangi saya untuk tampakkan diri dikhalayak. Saya malu sendiri lantas mengambil keputusan untuk menyepi buat seketika. Doakan saya…
Malam ini saya lawan tembok kebal penghalang - Enferiority kompleks + tekanan suasana - yang menjadikan saya moody untuk menulis.
Ikhtilat Ikhwah & Akhawat, Bagaimana Dengan Kita ?
Persoalan mungkin, ikhtilat antara IKHWAH dan AKHAWAT, bagaimana dengan kita? Terkadang saya berfikir sendiri, wajarkah isu ini dibangkitkan atau saya akan hanya dikata orang sebagai ketinggalan. Saya sedar sekian ramai yang telah pun tahu dan faham benar akan persoalan ini namun otak saya tetap berkeras mahu membekaskan tulisan atas tajuk ini. Harapan saya hanyalah satu, sebagai satu perkongsian.
Seseorang lelaki mahupun wanita itu hendaklah apabila telah cukup ilmu dan fahamnya tentang agama Islam, sementelah mereka yang terlibatnya di dalam dakwah haruslah menjaga dan memastikan dirinya jauh daripada ikhtilat (percampuran lelaki-perempuan) yang bukan mahramnya.
Ikhtilat ataupun percampuran antara lelaki dan perempuan selayaknya dilihat sebagai sesuatu yang besar impaknya kepada keruntuhan moral ummah. Sering kita dengar istilah kawan, adik-kakak-abang angkat mahupun tidak alah juga yang mendakwa sebagai rakan chatting atau apa jua istilah yang diguna sebagai merujuk kepada hubungan kemasyarakatan.
Justeru saya klasifikasikan hubungan mahupun ikhtilat antara dua jenis jantina ini sebagaimana berikut : 1. Hubungan lelaki dan perempuan atas nama cinta
2. Hubungan lelaki dan perempuan atas nama sahabat, kawan atau adik-abang-kakak angkat. Istilahnya sebagaimana yang ditakrifkan oleh Dr Haji Mohd Fadhilah Kamsah sebagai ‘Platonik’
Hubungan Cinta
Pada hakikatnya mana mungkin perkataan cinta penuh ghairah nafsu boleh hadir tanpa suatu yang bernama akad. Selalu sangat kita dengar ungkapan ‘i love u’ atau yang lebih islamik sikit mengungkapkan kalimah cinta dengan ‘Ana uhibbuka/ki fillah’.
Ungkapan pertama mungkin hasil didikan barat dan saya yakin ramai dikalangan kita samada islamic student mahupun mereka yang ada kesedaran agama jarang sekali terlibat dengan benda sebegini. Namun saya gusar bila terkadang mendengar ungkapan yang disaran oleh Nabi SAW digunakan dalam menzahirkan kasih sayang atas nama ukhuwah islamiah disalah guna. Unjuran nabi agar perkataan ‘Ana uhubbuka/ki fillah’ digunakan sesama jantina agar ikatan kasih sayang atau ukhuwwah islamiah disemarakkan kerana irtibat dengan ribatan iman dan Islam adalah kemuncak hubungan selain daripada hubungan kekeluargaan. Namun hari ini saya melihat ramai yang menangguk di air keruh apabila mengistinbatkan unjuran tersebut hingga membibitkan rasa gahirah cinta antara lain jantina. Pepatah arab ada menyebut ; Mula-mula salaing pandang memandang, kemudian melirik senyum seterusnya berani mengungkap kata “Hai assalamualaikum, boleh berkenalan” dan akhirnya temu-janji dibuat. Platonik Hubungan jenis ini sebenarnya lagi bahaya kerana sifatnya yang tersembunyi dan terselindung disebalik istilah hubungan kawan, adik angkat dan abang/kakak angkat atau apa jua hubungan yang langsung tidak melibatkan perasaan cinta pada awalnya. Sejak sekian lama saya memerhati dan membuat analisa berkenaan dengan hubungan ini hinggalah akhirnya saya menjumpai istilah yang membezakannya dengan hubungan cinta biasa. Kesimpulan yang saya jumpai menunjukkan bahawa hubungan ini juga adalah tidak syarie dalam Islam. Islam amat menitik beratkan soal hubungan ikhtilat antara lelaki dan perempuan sebagai langkah ikhtiat agar kelangsungan ummah tidak dicelarukan. Dalam Maqasid Syariyyah ada disebutkan antara 5 kewajipan manusia yang seharusnya dijaga dan diberi perhatian adalah menjaga nasab dan keturunan. Justeru mana mungkin lelaki dan perempuan yang diharamkan oleh agama untuk berikhtilat dalam erti kata samada berhubung rapat penuh nafsu atau persahabatan dan ber’angkat’ kononya langsung tiada rasa cinta dihalalkan oleh selera dan nafsu kita. Bukankan hidup bertunjangkan syariat dan agama adalah selamat dan yang pasti akan membawa bahagia di dunia dan di akhirat. Namun ini bukanlah bermaksud antara lelaki dan perempuan langsung tiada ruang komunikasi. Islam adalah agama yang mudah-memudah dan seharusnya relatif dengan tabie manusia. Islam meletakkan keharusan dalam muamalah dan hubungan kemasyarakatan antara lelaki dan perempuan dengan di sana juga diletakkan seiring batasan syariat. Ia bukalah sesusah dan sepayah apa yang digegak gempitakan oleh barat mentohmah dan memaparkan kejumudan ajaran Islam mengikut definisi keji mereka dalam soal ini. Batas yang digariskan bukanlah sesuatu yang sukar dilaksanakan tapi sebenarnya ia adalah langkah selamat ke arah menjamin keselesaan dan keselamtan ummah. Pelanggaran batas-batas pergaulan muslimin-muslimat masih terjadi dan hal ini mungkin disebabkan kerana : 1. Belum mengetahui batas-batas pergaulan. 2. Sudah mengetahui, namun belum memahami. 3. Sudah mengetahui namun tidak mahu mengamalkan. 4. Sudah mengetahui dan memahami, namun tergelincir kerana lalai. Kita mungkin sibuk menghiasi penampilan luar kita dengan menyimpan janggut, berkopiah ataupun dengan tudung labuh warna warni. Kita sibuk berhiaskan simbol-simbol font Islam, namun lupa substans Islam. Kita bersungguh belajar ilmu Islam namun tidak menfokuskan kepada pemahaman dan amal.

Tiada ulasan: